Pendaftar Kolej Universiti Insaniah
(KUIN) Datuk Dr. Latifah Hassan dipecat dari jawatan pendaftar ekoran pertukaran kerajaan Pakatan Rakyat
kepada kerajaan Umno di Kedah. Dua kakitangan atasan yang turut menerima nasib
yang sama ialah Ketua Penolong Bendahari, Che Kartina Mohd Idrus dan pensyarah
Kulliyyah Syariah, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin. Dalam bahasa yang lebih lunak,
mereka bukan dipecat sebaliknya diberhentikan. Iyalah orang Melayu suka guna bahasa lunak. Contoh mereka sebut 'bukan Islam' bukannya 'kafir', walaupun maksudnya sama.
Penguasa yang zalim sama saja sikapnya
di atas mukabumi ini, dari Mesir sampai ke Malaysia. Langkah pertama yang
diambil sebaik sahaja berkuasa ialah menyingkirkan mana-mana individu yang
mereka anggap tidak sehaluan dalam pentadbiran.
Dr. Latifah bukan orang politik
sebaliknya orang akademik tulen. Beliau dilantik kerana professionalismenya.
Pernah bertugas sebagai pendaftar di UUM selama 23 tahun, 10 tahun di UKM dan
dua setengah
tahun di Unisel. Dr. Latifah mengikat kontrak dengan KUIN
selama dua tahun dan bertugas baru enam bulan.
Tiada apa kesalahan besar yang
dilakukan beliau. Cuma ketika kemelut melanda KUIN di bawah pimpinan Rektor
Prof. Dr. Jamil Osman,
Dr. Latifah tidak bersama dengan kumpulan 'pemberontak' yang menyerang rektor
KUIN pada masa itu. Pentadbir yang baik memang begitu, tidak perlu
terbabit dengan politiking dalaman sebaliknya memfokuskan kepada professionnya
semata-mata. Atas 'dosa' tersebut mungkin menjadi
sebab Jawatankuasa Perkhidmatan dan Perjawatan membuat keputusan
memberhentikannya.
Apa
salahlaku yang dibuat oleh Dr. Latifah tidak diketahui. Notis pemberhentian
hanya menyebut "untuk kepentingan perkhidmatan". Namun di belakang
tabir tersebar khabar angin bahawa antara sebab utama pemecatan ialah kerana
beliau adalah orang kuat Tan Sri Kalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Hanya
kerana dua setengah tahun di Unisel, beliau menjadi orang Tan Sri Khalid, mengapa
tidak dicop orang Ustaz Azizan? Lebih panjang tempohnya beliau berada di UUM
dan UKM, mengapa beliau tidak didakwa orang Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah
Badawi? Dangkal sungguh jika itulah alasan yang dicipta untuk pemecatannya.
Persoalannya Dr. Latifah berjawatan
pendaftar, sepatutnya Mesyuarat Lembaga Pengarah Insaniah yang membuat
keputusan bukannya sebuah jawatankuasa yang lebih rendah kedudukannya dari
pendaftar.
Surat pemberhentian terhadap beliau pula dikeluarkan oleh Che Barni Mohd Noor selaku
Pemangku Rektor pada 30 Jun untuk pemberhentian pada 1 Julai 2013. Jawatan
selaku Pemangku Rektor hanya disahkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah KUIN
yang diadakan pada 6 Julai 2013. Segalanya bercelaru.
Semasa
di bawah kerajaan Pakatan terdapat kakitangan yang terang-terangan menentang
pentadbiran tetapi tiada yang diberi notis pemecatan 24 jam. Jika ada yang
melampau sangat, mereka didahului dengan surat tunjuk sebab. Itu bezanya antara
pentadbir yang bertanggungjawab lagi bertimbangrasa dengan pentadbir yang tiada
perikemanusiaan.
KUIN kini sudah banyak bercelaru sejak
kerajaan negeri bertukar tangan. Apabila Dato' Dr. Jamil meletakkan jawatan,
Rektor KUIN dipangku oleh Dato' Che Barni Mohd Noor yang sebelum ini memegang
jawatan
Timbalan Rektor. Beliau adalah
pegawai kerajaan negeri (KCS) yang tiada langsung pengalaman memimpin institusi
pendidikan. Ada
sumber mendedahkan, apabila KUIN
membuat permohonan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencadangkan
Che Barni sebagai pemangku rektor maka Kementerian keberatan, lalu mengizinkan
hanya untuk tiga bulan sahaja.
Seorang
lagi yang dipecat ialah Che Kartina Mohd Idrus, sebelum ini memegang jawatan
pemangku Bendahari KUIN. "Selepas Che Barni menjadi pemangku rektor, saya
tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat yang diadakan di
Mergong," ujar Che Kartina. Nampak sangat tindakan Che Barni langsung
tidak professional.
Dalam
perkembangan lain, pusat pentadbiran KUIN dilaporkan sudah dipindahkan semula
dari kampus induk Kuala Ketil ke tapak asal di Mergong walaupun kedudukan di
Kuala Ketil lebih selesa. Baru beberapa bulan pejabat pentadbiran berpindah
dari Mergong ke Kuala Ketil, kini berpindah balik pula. Apakah mereka tidak
mengiktiraf kampus induk KUIN yang telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong?
No comments:
Post a Comment