Sunday, July 28, 2013

Zaman di mana ramai orang biasa mahu menjadi 'peguam dan ulamak'... bagaimana menghadapi kecelaruan ini?



Guru besar Sekolah Kebangsaan Pristina, Kuala Lumpur bertungkuslumus mempertahankan diri apabila media sosial mempersoalkan tindakannya menjadikan bilik persalinan ala tandas menjadi tempat makan sementara kepada pelajar bukan Muslim.

Katanya, tempat itu bersih, bukannya tandas. Orang ramai di media sosial mempersoalkan, kalau bilik persalinan sekalipun ia tidak wajar kerana di situ ada tandas dan bilik mandi. Kementerian Pelajaran mengarahkan pihak sekolah menghentikan serta merta bilik itu dijadikan kantin sementara. Kalau betul di pihak sekolah, mengapa kementerian arah 'kantin sementara' itu dialihkan? Apapun isu itu dipolemikkan panjang lebar di alam maya.

Di Ipoh, seorang bapa berang dan enggan menerima laporan pihak hospital berhubung kematian anaknya lantas tidak mahu menuntut jenazah anaknya di hospital selagi bedah siasat kedua tidak dijalankan. Menurut laporan, anaknya mati tersepit di celah tingkap akibat sesak nafas. Bapa itu mempersoalkan kesan lebam yang terdapat di badan jenazah anaknya dan beberapa aspek yang menimbulkan keraguan terhadap cara kematian anaknya. Benarkah si malang itu mati tersepit atau tidak menjadi bahan polemik yang panjang di media maya. Semua orang kelihatan bijak memberi hujah, macam peguam belaka.

Seorang peserta ratu cantik yang mempersoalkan satu fatwa yang menyebabkan penganjur menggugurkan beliau daripada menyertai pertandingan Miss Malaysia World 2013.

Beliau mendakwa fatwa yang diwartakan pada 1996 itu tidak lagi sesuai digunakan pada masa sekarang. Beliau merasa pelik mengapa peserta sukan renang dan gimnastik tidak diharamkan dari menyertai sukan tersebut walaupun mereka juga mendedahkan aurat.
Hujah itu tidak melepaskan dirinya dari perlakuan maksiat tetapi membelit leher para penguasa agama. Isu ini juga jadi bahan polemik yang menarik di media maya.

Saya sekadar menyebut beberapa contoh, namun hari ini apa saja isu yang sensasi dalam masyarakat akan ditangani oleh ramai orang seolah-olah semua orang mahu menjadi peguam, ulamak, ahli akademik atau penganalisis isu sosial. Jika dahulu isu agama hanya ditangani oleh golongan ulama, hari ini bukan ulama pun sudah berani berhujah persis ulama.

Hari ini ramai orang sudah memilik media miliknya sendiri tanpa perlu membuka syarikat akhbar atau televisyen. Dengan memiliki akaun Facebook, Twitter, laman blog atau web masing-masing mampu menyebarkan versi mereka ke seluruh dunia dalam sekelip mata. Ia menjadikan persoalan menguruskan pemikiran adalah isu yang rumit dan kompleks.

Persoalan yang berlegar di media maya kini bukan hanya persoalan sosial tetapi juga isu agama, perbezaan Sunni- Syiah, Khawarij, Wahabi atau Salafi, Asya’irah dan Maturidiyyah; pertikaian aqidah dan  fiqah yang berlarutan selama beratus tahun kini dihidupkan semula untuk dipolemikkan. Kecelaruan sebenar mutakhir ini ialah apabila ramai orang mahu menjadi 'ulamak dan peguam' terhadap semua isu berkaitan agama. Seperti kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, "Masalah khilafiyyah di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni."

Mampukah kegiatan yang berleluasa ini disekat? Ia sudah jadi semacam hampir mustahil untuk dihentikan di zaman langit terbuka ini. Mereka menyebarkan apa sahaja, daripada bahan bohong, hujah dan nas yang dhaif hinggalah hujah dan nas yang sahih semuanya tersebar secara berleluasa.
Baru-baru ini Kerajaan Negeri Kedah secara rasmi telah mewartakan pengharaman ajaran Syiah di negeri ini. Ajaran Syiah bukanlah baru, ia sudah terlalu lama. Berbeza dengan ajaran Ayah Pin, Syiah mempunyai para ulamak, kitab-kitab rujukan dan sistem pengajian mereka. Terdapat pelbagai mazhab dalam syiah, dari yang didakwa tersesat jauh sehinggalah yang dikatakan paling hampir dengan pegangan Sunni.

Barang dijauhkan Allah dari saya menganuti fahaman Syiah, cuma sekadar ingin bertanya, dalam era keterbukaan kerencaman pemikiran manusia kini mampukah perbezaan kepercayaan ditangani dengan Akta atau undang-undang? Akan selesai atau berkuranglah masalah dalam menangani isu kepercayaan dengan menggunakan senjata undang-undang?

Ada yang mencadangkan supaya isu Sunni-Syiah ditangani dengan dailog atau muzakarah. Ada pula yang berhujah tiada guna berhujah dengan puak yang menjadikan taqiyah (menyembunyikan kepercayaan sebenar) sebagai senjata. Maka dalam mencari kaedah menangani isu itu pun masing-masing terus berpolemik dan berpecah.

Saya langsung tidak berani untuk membuat apa-apa rumusan mengenai persoalan ini, sekadar membangkitkan isu keterbukaan kerencaman pemikiran di zaman langit terbuka sebagai satu wabak baru yang perlu kita sama-sama tangani. Lalu bagaimana cara menanganinya?


No comments:

Post a Comment