Saturday, October 5, 2013

Antara Chin Peng dan Henry Gurney, siapa lebih jahat?

Betul kata penganalisis politik tanahair, para pemimpin Umno akan menjadi hero untuk dua musim; pilihanraya dan pemilihan parti. Ditakdirkan Allah, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia Chin Peng meninggal dunia ketika para pemimpin Umno sibuk melobi untuk bertanding dalam pemilihan di semua peringkat.


Maka berhamburanlah kata-kata makihamun keluar dari mulut para pemimpin Umno terhadap mendiang Chin Peng. Masing-masing memberi amaran supaya mayat Chin Peng tidak dibawa pulang kerana bekas pemimpin PKM itu adalah penderhaka dan pengganas. Jangankan mayat, abu bakaran mayat pun tidak dibenar masuk ke Malaysia. Pasukan polis dikerahkan mengawal dengan rapi sempadan negara.

Menjelang hariraya rasanya bertan-tan mercun diseludup masuk ke Malaysia dari Thailand. Malam raya bumi Malaysia bagaikan medan perang. Bahan letupan pun boleh diseludup dengan mudah ke Malaysia, maka setakat nak seludup abu tidaklah susah sangat. Polis banyak kerja lain, tiba-tiba dikerahkan melakukan kerja tiada berfaedah.

Semuanya gara-gara keghairahan para pemimpin Umno mahu menonjolkan diri sebagai wira negara dengan harapan dipilih sebagai pemimpin parti dalam pemilihan yang akan diadakan hujung tahun ini. Sikap anti Chin Peng dan PKM itu tidak lebih dari sebuah sandiwara.

Bukankah kerajaan Malaysia yang diterajui UMNO yang menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 dengan PKM? Bukankah perjanjian damai merupakan satu pengiktirafan kepada PKM? Rasanya ramai Melayu yang belum lupa bahawa PKM diwakili oleh Chin Peng sendiri, bersama rakannya Abdullah CD dan Rashid Maidin. Chin Peng bercakap dalam Bahasa Melayu manakala wakil kerajaan Malaysia bercakap dalam bahasa penjajah Inggeris. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Megat Junid Megat Ayub.

Antara isi perjanjian yang ditandatangani ialah Chin Peng selaku wakil ahi PKM berikrar taat setia kepada Yang diPertuan Agung Malaysia. Kerajaan Malaysia membenarkan bekas anggota PKM yang memang berasal dari Malaysia diberi kewarganegaraan dan menetap di Malaysia. Selepas perjanjian tersebut, kalau Chin Peng mahu pulang dan menetap di Sitiawan pun tiada siapa boleh menghalang tetapi dia memilih untuk menetap di Thailand.

Apa yang menariknya, Kerajaan Malaysia berjanji untuk membayar subsidi kehidupan sebanyak RM 8,000 sekembalinya bekas anggota PKM yang diterima kerakyatan itu ke Malaysia dan wang saranan hidup sebanyak RM300 untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di tanahair. Sepatutnya ganjaran seperti itu diberikan kepada anggota polis dan tentera yang terbunuh diserang gerila komunis. Hebatnya bekas anggota PKM dibela, mengapa tiada seorang pun pemimpin Umno yang membantah ketika itu? Sekarang, abu mayat Chin Peng pula yang nak dilawan. Teruknya Umno sampai abu pun dijadikan bahan politik.

Di kalangan ahli akademik, wajar atau tidak, mayat atau abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia turut menjadi bahan polemik. Bila orang akademik berbicara, ia lebih rasional kerana mereka tiada kepentingan politik.

Ada ahli akademik yang mempersoalkan mengapa marah sangat dengan Chin Peng sehingga tidak boleh 'pulang' selepas matinya, sedangkan Sir Henry Gurney yang dibunuh askar Chin Peng boleh pulak dikebumikan di Malaysia.

Siapakah Henry Gurney? Beliau adalah Pesuruhjaya British di Tanah Melayu. Mengikut catatan sejarah Gurney bersama Author Balfour, Setiausaha Luar Britain kepada Lord Rothschild (Walter Rothschild) adalah individu yang memainkan peranan besar dalam mendirikan negara haram Israel di pihak British.

Gurney sebelumnya adalah Ketua Setiausaha Kerajaan Palestin (1946 - 1948). Pada 1948, Henry Lovell Goldsworthy Gurney dianugerah sebagai Order of St Michael and St George sebagai KCMG dan merupakan pangkat kedua paling tinggi Kesatria British kerana jasa-jasanya sebagai Ketua Setiusaha Kerajaan Palestin.

Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam rancangan British untuk menyerahkan sebahagian bumi Palestin kepada Yahudi Israel yang bertanggungjawab melakukan keganasan terhadap penduduk Islam Palestin, tetapi orang ini kemudiannya diangkat sebagai wira oleh sebahagian rakyat Malaysia apabila mati dibunuh dalam satu kejadian serang hendap oleh pihak komunis di Bukit Frazer pada tahun 1951. 

Nama pengkhianat kepada umat Islam Palestin ini terpahat di sekolah pelajar ‘bermasalah’, beberapa jalan telah dinamakan sempena nama beliau seperti Jalan Henry Gurney di Melaka, Seremban, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Nama beliau juga disemadikan pada perpustakaan awam pertama di Seremban yang dinamakan Perpustakaan Peringatan Sir Henry Gurney. Begitulah agungnya penjajah dan pengkhianat kepada umat Islam ini dimata kerajaan Umno.



No comments:

Post a Comment