Pilihanraya Kecil Dun Sungai Limau tetap akan diadakan
mengikut peruntukan perlembagaan. SPR akan mengumumkan tarikh penamaan calon
dan hari mengundi. Para pemilih berdaftar yang namanya tersenarai dalam daftar
pemilih, sekalipun mereka orang Myanmar yang diberi kerakyatan layak untuk
mengundi memilih Adun Sungai Limau yang baru menggantikan Almarhum Tan Sri
Ustaz Azizan Razak yang meninggal 26 September lalu.
Pada PRU13, Ustaz Azizan mengalahkan sepupunya dari BN, Mohd
Fadhilah Mohd Ali dengan majoriti 2,774
undi. Dalam ranking keputusan
pilihanraya yang disertai calon PAS di Kedah, Sungai Limau berada di kedudukan
kedua selepas Tokai. Jika pada PRU13 lalu PAS kalah di Sungai Limau, maka di
atas kertas PAS juga tidak berupaya menghantar tujuh lagi wakilnya ke Dun.
Ustaz Azizan dan PAS telah mempertahankan Sungai Limau selama lima penggal
berturut-turut. Sewaktu PAS Kedah mencapai keputusan tercorot, Sungai Limau
(dahulunya Sala) dan Tokai (dahulunya Bukit Raya) masih mampu dipertahankan
oleh Ustaz Azizan dan Almarhum Dato' Fadzil Noor.
Ini bermakna secara realistik, BN masih sukar untuk merampas
kerusi Sungai Limau dalam PRK kali ini kerana ia masih kubu kuat PAS. Walaupun
BN memiliki kelebihan logistik 'peperangan' dan akan menggunakan segala cara
untuk menewaskan PAS tetapi mereka bukan berlawan dengan tunggul kayu mati yang
tidak bertindakbalas apa-apa. PAS Kedah masih memiliki ahli paling ramai di
Malaysia dan jentera pilihanraya yang cukup terlatih untuk berlawan dengan BN.
Insya Allah tiada masalah untuk mengekalkan kemenangan di kawasan PAS sudah
memiliki kekuatan asas.
Di pihak BN, mengurangkan majoriti PAS adalah satu kejayaan
manakala merampas kerusi tersebut adalah 'bonus' yang sangat berharga. Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musodak Ahmad menjangkakan pertandingan
merebut kerusi DUN Sungai Limau akan berlaku dalam suasana sengit dan luarbiasa
memandangkan keputusannya nanti akan menjadi 'testimoni' kepada Dato' Mukhriz
Mahathir yang pertama kali menghadapi Pilihanraya Kecil sebagai Menteri Besar.
Memang betul, ini ujian yang sebenar bagi anak bekas Perdana
Menteri yang dikatakan 'menaiki takhta' kerana menumpang tuah bapanya. Jika
beliau menang Naib Presiden Umno pun tiada apa yang boleh dibanggakan kerana
memang bapanya dianggap seorang pemimpin agung oleh ahli-ahli Umno yang
rata-ratanya sangat taksub dengan Tun Mahathir. Tetapi kalau Mukhriz menang PRK
Sungai Limau, maka barulah terserlah kehebatannya kerana berjaya memenangi hati
rakyat biasa dari pelbagai kelompok.
Bagi pihak BN Pusat, mereka cuba membuktikan bahawa penolakan
rakyat Kedah terhadap Pakatan tidak berakhir setakat 5 Mei 2013 sahaja. Bahkan
ia berlarutan dan kedudukan BN kelihatan lebih utuh berbanding sebelumnya. Ia
sebagai modal untuk dijaja sehingga PRU14.
Maka seperti biasa pertarungan yang bakal berlaku bukan antara PAS
dan BN, tetapi pertarungan antara PAS Kedah dengan Kerajaan Pusat. Semua
kementerian Persekutuan akan turun berkampung di Sungai Limau. Program
kementerian yang sudah dijadualkan berlaku di serata pelusuk negara, semuanya
akan dialihkan ke Sungai Limau. Menteri-menteri akan turun merasmikan program
tersebut sambil menuturkan ucapan stereotype "Sebenarnya program Kementerian
ini sudah lama dirancang untuk diadakan di Sungai limau, tiada kena mengena
dengan pilihanraya kecil cuma kebetulan saja berlaku kematian wakil
rakyat." Segelintir rakyat yang kurang pengetahuan akan mengangguk-angguk
macam pokka mempercayai cakap menteri itu.
Hamburan habuan duniawi untuk penduduk Sungai Limau oleh kerajaan
Pusat yang berkempen untuk BN akan dibuat dengan begitu menjolok mata. Segala
jenis skim bantuan, wang tunai, peralatan kerja harian, bekalan makanan harian,
bahkan bekalan beras untuk beberapa bulan diagihkan dengan lumayan. Segala
masalah penduduk akan didengar, segala infrastuktur yang tidak sempurna akan
disempurnakan segera. Pengundi benar-benar menjadi anak emas.
Jika Pakatan ketika itu memainkan isu kenaikan harga minyak, kenaikan
harga barang dan bebanan kos sara hidup ia sudah tidak berkesan bagi kebanyakan
pengundi Sungai Limau kerana mereka untuk seketika berada di alam lain -
maksudnya alam orang senang, mewah dan kaya raya.
Inilah masalah yang dihadapi oleh pembangkang kepada parti yang
memerintah Pusat, setiap kali berlaku PRK. Pembangkang menjaja isu tetapi BN
membeli jiwa dan raga menggunakan wang. Tiada siapa dapat membetulkan
kepincangan ini. Sejak sekian lama perjalanan pilihanraya di Malaysia tidak
pernah adil.
PRK terakhir yang berlaku di Kedah adalah DUN Bukit Selambau pada
April 2009 ketika kerajaan negeri di bawah Pakatan. Pakatan turun dengan
kekuatan jentera parti, langsung tidak menyalahguna jentera kerajaan. Terdapat
pegawai serta kakitangan kerajaan negeri yang bertugas di bilik gerakan BN,
Menteri Besar tidak peduli. Prinsipnya, sesiapa saja bebas untuk menyertai
mana-mana parti politik asalkan di luar waktu bekerja atau jika tidak
mengganggu kerja asas sebagai kakitangan kerajaan.
Lagi keanehan yang berlaku ketika itu ialah, BN sebagai
pembangkang menggunakan beberapa balairaya milik kerajaan negeri sebagai bilik
gerakan sedangkan Pakatan menggunakan premis sendiri.
Beranikah untuk PRK Sungai Limau kali ini Mukhriz yang mengetuai
kerajaan negeri turun dengan jentera parti semata-mata dan tidak menyalahgunakan
jentera kerajaan negeri seperti yang dibuat oleh Ustaz Azizan dahulu? Slogan
Mukhriz ketika merebut jawatan dalam Umno ialah 'berani berubah'. Di luar Umno
nampaknya dia tidak pula berani mengubah kebiasaan BN dalam menodai demokrasi.
No comments:
Post a Comment