Saturday, September 28, 2013

Tidak jadi komunis kalau setakat kaji sejarah PKM


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam 'pemimpin' PAS yang hadir ke Bangkok, Thailand untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan menyifatkan tindakan ini hanya untuk memenangi undi Cina.

Begitulah Perkasa yang hidupnya atas isu rasis, gemar benar membuat prasangka buruk terhadap sesiapa sahaja, terhadap apa jua isu yang terlintas di hadapan mata; asal dapat sedikit untung politik. Akhir zaman ini, 'isu rasis' pun boleh jadi modal untuk cari makan.

Sebelum itu The Malaysian Insider melaporkan pemimpin PAS Kedah Fadzil Baharom hadir ke tokong Wat That Thong di Bangkok bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Ia berlaku di tengah-tengah usaha kerajaan Malaysia menyekat pintu sempadan dari dimasuki abu Chin Peng.

Pemimpin PAS Kedah yang dimaksudkan itu hanya ahli jawatankuasa biasa Kawasan yang hadir ke Bangkok kerana minat yang mendalam terhadap sejarah Chin Peng sebagai sebahagian dari lembaran sejarah Malaysia. Dia mengakui hadir secara peribadi, tidak mewakili sesiapa. PAS sudah cukup lumayan dengan sokongan undi Cina sejak PRU12, justeru hadir melawat kematian Chin Peng tidak memberi apa-apa kesan terhadap sokongan dari mana-mana pihak. Chin Peng adalah bahan sejarah. Tidak pelik untuk bahan sejarah menjadi perhatian semua pihak.

Hari ini setiap orang luar yang melawat Mesir tidak cukup syaratnya jika tidak menziarahi piramid, tempat di mana jasad Firaun disemadikan. Tidaklah pula bermakna semuanya mendokong perjuangan Firaun. Demikianlah komunis yang ideologinya sendiri sudah tidak laku di maya pada ini, masakan menjadi fahaman untuk dianuti.

PKM adalah bekas 'pemain' sejarah Malaysia yang tidak boleh dipadam dari catatan. Sebahagian dari pejuangnya masih hidup walaupun sudah berusia. Ramai yang menetap di beberapa buah penempatan yang dikhususkan kepada bekas anggota PKM di Selatan Thailand. Mereka mampu bercerita sejarah perjuangan PKM, khususnya Rejimen Ke 10 yang diwujudkan untuk orang Melayu/Islam pimpinan Rashid Maidin.

Jika Chin Peng mengasaskan PKM bersaskan ideologi dan falsafah perjuangan komunis tetapi berbeza pula dengan Rejimen Ke 10 yang kewujudan mereka dikatakan kerana terperangkap dengan situasi. Apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) diharamkan penjajah British, para pejuang kemerdekaan diburu, maka ramai yang melarikan diri bersembunyi. Mereka mengalami nasib yang sama seperti PKM yang diharamkan, ancaman penangkapan dan pembunuhan.

Kumpulan-kumpulan yang mempunyai musuh yang sama, cabaran dan penindasan yang sama akan mudah menjalin kerjasama. Di kalangan penentang penjajah, PKM yang dominan berasaskan senario politik dunia ketika itu, mempunyai hubungan dengan dunia luar dan mudah mendapat bantuan. Mekanisme tahaluf yang dipersetujui ialah, PKM menawarkan sebuah rejimen kepada kumpulan Melayu/Islam iaitulah Rejimen Ke 10. Ia dikatakan strategi bagi memudahkan saluran bantuan logistik dan latihan ketenteraan.

Adakah Rejimen Ke 10 ini benar-benar sudah menjadi penganut komunis dari segi ideologinya? Sedia dimaklumi bahawa komunisme yang ideal adalah kewujudan masyarakat tanpa kelas seolah menafikan pemilikan individu yang bertentangan dengan Islam. Sejarah komunis mengikut mana-mana model pun penuh dengan catatan penindasan terhadap umat Islam.

Tidaklah sukar sangat untuk mendapat penjelasan berhubung perkara tersebut kerana walaupun PKM sudah mati tetapi sebahagian aktivisnya masih hidup. Mereka adalah penganut ajaran Islam yang sebenar, bersolat, berpuasa dan membaca Al-Quran. Rashid Maidin dan semua aktivis yang dikaitkan dengan komunis itu juga menunaikan haji di Mekah. Jika tidak pasti, para pengkaji sosial dari Malaysia boleh mendapat maklumat dari mereka. Ada banyak catatan sejarah Malaysia yang menimbulkan tandatanya, mereka boleh jelaskannya.

Bersumberkan mereka juga, Rejimen Ke 10 mempunyai empat asas disiplin yang wajib dipatuhi iaitu: Segala tindakan patuh kepada perintah; Tidak mengambil sebatang jarum atau seutas benang pun dari massa; Sebarang rampasan perang harus dirasmikan; Dengan ketat menyimpan rahsia tentera.

Apa yang menariknya dalam etika Rejimen Ke 10 yang mesti diberi perhatian oleh ahli-ali ialah: 1. Pertuturan hendaklah ramah tamah; 2. Berjual beli harus adil; 3. Barang-barang yang dipinjam harus dikembalikan; 4. Ganti kerugian barang-barang yang dirosakkan; 5. Rumah-rumah yang ditumpangi harus dibersihkan; 6. Menghormati adat resam; 7. Jangan memukul atau memaki orang; 8. Jangan merosaki tanaman; 9. Jangan berlaku tidak senonoh terhadap wanita; 10. Jangan menganiayai tawanan perang.

Benarkah segala dakwaan catatan dan maklumat di atas? Saya lontarkan kepada para pengkaji sejarah untuk menjawabnya.


Sejarah ditulis oleh pihak yang menang dan berkuasa. Sejarah versi pihak yang kalah tidak mestinya salah. Ahli sejarah dan para ulamak juga boleh menyelidik walaupun PKM sudah menjadi bahan sejarah. Namun menghukum secara membutatuli berdasarkan sejarah pihak yang menang sahaja tentulah tidak adil. 

1 comment:

  1. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ mua hàng mỹ từ dịch vụ order hàng mỹ hay nhận mua nước hoa pháp từ website nổi tiếng hàng đầu nước Mỹ mua hàng ebay ship về VN uy tín, giá rẻ.

    ReplyDelete