Sunday, September 22, 2013

PAS sedang berada di Fasa Pertelingkahan?




Dewan Ulamak PAS Pusat baru selesai menganjurkan Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Ucaptama oleh Ketua Dewan Ulamak, Dato' Harun Taib dan seterusnya resolusi yang dibuat dalam multaqa tersebut telah mencetuskan sedikit polemik dalaman.

Antaranya ialah cadangan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya KeADILan disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah.

Multaqa juga menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulamak yg memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulamak dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis.

Sebagai kolumnis akhbar rasmi parti elok untuk penulis tidak ambik peduli, mengulas atau jauh sekali dari memihak terhadap isu yang dibangkitkan itu. Cuma penulis rasa khuatir terhadap kaedah menguruskan perbezaan pandangan oleh ahli-ahli parti mutakhir ini, yang kadangkalanya kelihatan sudah hilang Islamnya. 

Memaki hamun, menyindir, menghina, mengutuk bahkan memfitnah nampaknya sudah mengambil tempat di dunia maya yang tidak bersempadan. Tidak hanya isu yang berbangkit di multaqa, bahkan apa saja isu dalaman yang muncul sama ada dakwaan liberalisasi, ribut dalam cawan PAS Kedah, penentuan calon PRU, lantikan Exco dan Menteri Besar di negeri Pakatan, Syiah dan sebagainya - semuanya menjadi bahan polemik di media maya dengan komen-komen panas tanpa batasan akhlak.

Dalam teori organisasi apa yang sedang berlaku dalam pertubuhan besar seperti PAS dipanggil Fasa Pertelingkahan atau peleraian. Kajian yang dibuat oleh para pengkaji organisasi professional atau ahli akademik, semua mendapat penemuan yang sama iaitu setiap organisasi akan melalui Fasa Pembinaan, Fasa Pengukuhan dan Fasa Pertelingkahan.

Fasa Pembinaan iaitu permulaan, ditanda oleh agenda yang bersifat ‘akar’ dan bersifat umum untuk membuka ruang kepada penyertaan orang baru. Fasa ini sangat sukar namun segala kesukaran dapat dihadapi dengan roh untuk berkorban. Kerana merasai susah payah bersama, maka, para ahli mudah untuk berlapang dada dan akur dengan kekurangan yang ada.

Fasa Pengukuhan ditanda oleh tema pengisian untuk memenuhkan rangka dan bekas yang sudah ada. Kebiasaannya, agenda ini dipimpin oleh ‘pemain-pemain’ baru yang hidup bersama dengan angkatan generasi awal. Maka, dengan berbekal semangat mewarisi aspirasi perjuangan, segala perancangan dibuat untuk mencapai halatuju yang telah ditetapkan sejak dari awal. Kecenderungan mereka ialah berasa sangat selesa dengan apa yang ada tanpa memikirkan akibat buruk daripada keselesaan tersebut.


Fasa Pertelingkahan ditandai dengan pertikaian dalaman yang berlaku di antara anggota di semua peringkat. Perbezaan pendapat yang kecil pun diperbesarkan dan cenderung pula untuk membentuk kumpulan dalam organisasi dan berkonflik antara kumpulan tersebut.

Teori organisasi yang dibuat oleh pengkaji kebanyakannya dari Barat dan sekular, diandaikan terhadap semua. Mereka tidak melabelkan secara berbeza terhadap organisasi sekular atau Islamik.

Perbezaan pendapat di kalangan manusia adalah perkara biasa disebabkan penciptaan akal pada mereka mempengaruhi cara berfikir dan cara memahami sesuatu perkara. Cuma apabila konflik berlaku dalam organisasi atau jamaah Islam maka ia memberi cabaran berbeza.

Para ulamak terdahulu sudah biasa dengan situasi ini. Mereka mencari kaedah terbaik merealisasikan kata-kata 'perbezaan antara umat adalah rahmat'. Seorang graduan Timur Tengah, Muhammad Shahrul Ifwat menulis bahawa, dalam isu khilafiah sahaja realitinya perbincangan, perdebatan, dialog tentang isu ini sejak berpuluh tahun dahulu tidak mampu menghasilkan ‘rahmat’ antara kedua pihak. Sama ada di kalangan ulama Timur Tengah, ataupun ilmuan tanah air, ia tidak pernah mendatangkan kebaikan bagi kedua-dua pihak. Jika ia selesai di antara ‘tok guru’ sekali pun, anak murid masih ingin bertelagah.

Fitnah ‘dikejutkan’ daripada tidur. Betapa ramai yang menjadi mangsa tohmahan dan labelan hasil daripada terus melayan polemik isu dalaman tersebut. Dalam isu syiah sebagai contoh, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menasihatkan supaya biar perbezaan tersebut ditangani oleh golongan ulamak bukan antara golongan jahil dalam kedua pihak. Namun dalam polemik berkaitan halatuju PAS, semua ahli parti dari atas hingga ke bawah merasa berhak untuk menyertai perbahasan kerana semuanya adalah 'ulamak' politik dan perkara yang dibincangkan itu bukan berkaitan hukum hakam.


Multaqa anjuran Dewan Ulamak PAS itu sangatlah baik walaupun resolusinya mencetuskan sedikit polemik. Namun ia menjadi sangat baik dan bermakna jika selepas ini ada pihak (tidak semestinya Dewan Ulamak) menganjurkan pula seminar mengajar anggota PAS bagaimana menguruskan perbezaan dengan betul, dalam situasi PAS mungkin sedang berada di Fasa Pertelingkahan. Dalam teori organisasi fasa-fasa tersebut adalah kitaran, jika berjaya dijernihkan maka organisasi akan dibina dan kukuh semula. Mungkin lebih kukuh dari sebelumnya.

No comments:

Post a Comment