Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Muhammad Badi'e
ditangkap oleh regim tentera pada 20 Ogos 2013 kerana kononnya menghasut ke
arah keganasan di Kaherah sehingga lebih 50 orang terbunuh. Dua timbalannya
dalam Ikhwan juga ditangkap dan mereka semua didakwa di mahkamah atas tuduhan
menganjurkan keganasan.
Dr. Muhammad Badi'e adalah pemimpin kelapan Ikhwanul Muslimin yang
asaskan oleh Hassan Al-Banna pada 1928. Badi'e memegang jawatan tersebut sejak 16
Januari 2010 sehingga kini. Lulusan di bidang perubatan veterinar ini adalah
nama besar dalam sebuah harakah Islam terbesar dan tertua di dunia iaitu
Ikhwanul Muslimin.
Sewaktu demokrasi Mesir dipulihkan selepas regim Hosni Mubarak
digulingkan oleh rakyat jelata, Ikhwan menyertai pilihanraya dengan menaja
parti Kebebasan dan Keadilan yang dipimpin oleh Dr. Muhammad Morsi. Morsi bukan
pemimpin utama Ikhwan, pertama kali dipilih ke parlimen pada tahun 2000 sebagai
calon bebas dari proksi Ikhwan. Dalam Ikhwan beliau hanya ahli jawatankuasa
pemandu.
Dalam pilihanraya presiden 2012, Morsi ditonjolkan mewakili parti
Kebebasan dan Keadilan sekaligus mewakili Ikhwan. Mengapa bukan pemimpin nombor
satu Ikhwan, Muhammad Badi'e atau lain-lain pemimpin utama? Memang dari awal
mereka tidak sertai politik.
Di samping Ikhwan mempunyai sebab musabab tersendiri mengapa tidak
menonjolkan tokoh tertinggi jemaah atau parti untuk bersaing merebut jawatan
kerajaan, apa pun ia kelihatan cantik dan rasional. Jawatan politik di mata
rakyat perlu memenuhi aspirasi rakyat yang pelbagai. Dalam parti hanya
ahli-ahli yang membuat keputusan. Badi'e misalnya, hebat dan teruji berbanding
Morsi namun jika sertai pilihanraya belum tentu cukup popular untuk menang.
Tunisia mengalami pengalaman yang sama. Rashid Ghannusi adalah
pemimpin ulung parti An-Nahdah yang sehingga kini ia menjadi parti terbesar di
Tunisia. Beliau adalah salah seorang pemikir Islam yang terkemuka di dunia,
menulis mengenai Islam dan kemodenan, demokrasi dan sekularisme, hubungan
antara Timur dan Barat, hak asasi manusia dan masyarakat sivil dan
tulisan-tulisannya telah pengaruh ke atas pemikiran politik dan agama di
seluruh dunia Arab dan Islam. Beliau telah dinamakan sebagai seorang dari
kalangan 100 orang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2012. Pernah dihukum
penjara seumur hidup serta dibuang negara untuk hidup dalam buangan untuk satu
tempoh yang panjang.
Beliau hanya kembali ke Tunisia selepas regim Presiden Zein
El-Ebidin Ali ditumbangkan dengan kuasa rakyat. Ramai beranggapan bahawa
Ghannusi adalah orang yang paling layak menjadi Presiden atau sekurang-kurang
menjadi orang penting dalam kerajaan Tunisia yang dibentuk selepas pilihanraya
umum bebas diadakan.
Namun Ghannusi tidak bertanding atau menyertai kerajaan. An-Nahdah
menonjolkan Hamadi Jebali iaitu Setiausaha Agong parti itu sebagai Perdana
Menteri Tunisia selepas An-Nahdah bersama rakan-rakan pakatannya berjaya
membentuk kerajaan. Ghannusi hebat, namun di mata rakyat Jebali selaku graduan
bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Tunis dan sarjana dalam bidang
kejuruteraan photovoltaic di Paris, Perancis lebih berwibawa dalam kerajaan.
Ghannusi sendiri di samping kekal bersama parti, kelihatan juga menjadi
pengkritik bebas kerajaan.
Hamas yang membentuk kerajaan di Palestin juga tidak melantik
pemimpin utamanya untuk berada dalam kerajaan. Selepas Syeikh Ahmad Yasin dan
Aziz Rantisi syahid dibunuh oleh regim Israel, tiada siapa tahu siapa pemimpin
nombor satu Hamas tetapi yang pasti dia bukanlah Ismail Haniyeh yang menjadi
Perdana Menteri Palestin.
Senario politik di negara bekas jajahan British tidak begitu.
Pemimpin utama parti, jika memenangi pilihanraya biasanya akan mengetuai
kerajaan. Di Malaysia 'disiplin' itu langsung tidak pernah terusik (di samping
parti yang memerintah juga tidak pernah berubah), Perdana Menteri adalah dari
Umno parti yang menjadi tonggak utama BN, manakala para menterinya adalah
pemimpin-pemimpin utama parti, termasuk lain-lain parti komponen BN.
BN, dahulunya Perikatan, memerintah terlalu lama namun
kepimpinannya silih berganti. Malangnya pihak pembangkang (dan sekarang
membentuk pakatan) juga menjadi pembangkang terlalu lama di samping tokoh-tokoh
yang ditonjolkan bersaing merebut jawatan politik pilihanraya kelihatan tidak
berubah. Sekurang-kurang untuk lebih dua dekad PRU barisan kepimpinan utama Pakatan
Rakyat (dahulunya Barisan Alternatif) adalah pemain-pemain yang sama. Anwar
Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh begitu juga beberapa pemimpin PAS -
menjadi pemain politik yang sudah terlalu lama (sekadar contoh).
Tokoh-tokoh tersebut tiada masalah untuk terus kekal memimpin
parti atau menjadi jurupandu kepada kerajaan yang diperintah oleh Pakatan
Rakyat jika berjaya menguasai Putrajaya, namun untuk dibariskan sebagai pemain
utama bagi ditawarkan kepada rakyat untuk PRU14 nanti rasanya ia sudah tidak relevan.
Citarasa rakyat tidak sama dengan citarasa anggota parti. Rakyat umumnya tidak mahu sebuah gagasan yang tampak 'tua dan laih' (walaupun hakikatnya mungkin tidak begitu.) Pakatan kena mula
memikirkan untuk menawarkan kepada rakyat sebuah kepimpinan yang kelihatan 'muda
dan bertenaga' bagi menyaingi BN.
Tuan Guru Nik Aziz telah menunjukkan teladan bahawa kerajaan
Kelantan boleh untuk dipisahkan dari kepimpinan beliau walaupun sebelum ini
sukar untuk ahli-ahli parti menerima kenyataan tersebut. Tiada masalah pun
apabila beliau hanya memimpin parti manakala kerajaan dipimpin oleh orang lain.
Para pemimpin utama parti komponen Pakatan yang sudah terlalu lama menjadi
pemain politik PRU perlu bersedia ke arah itu dalam PRU14 nanti.
Untuk
menempa kejayaan kadangkala kita kena keluar dari kebiasaan, lebih-lebih lagi
kebiasaan yang tidak pernah menunjukkan kejayaan memberangsangkan. Kita perlu menawarkan kepada rakyat apa yang menjadi citarasa rakyat, bukannya memaksa citarasa kita untuk diterima rakyat.
No comments:
Post a Comment