Selepas dua
tahun Pakatan Rakyat mentadbir Kedah, Perhubungan PAS Kedah agak curiga dengan
sokongan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Ustaz Azizan Razak. Sebuah
jawatankuasa yang diketuai oleh Dato' Dr. Isa Ismail (Speaker DUN ketika itu)
ditugaskan untuk membuat kajiselidik secara professional berhubung sokongan
rakyat terhadap kerajaan negeri serta isu-isu semasa yang berbangkit di Kedah.
Secara terus
terang, kajian tersebut dibuat antaranya sebab terdapat dakwaan kononnya gaya
pentadbiran Ustaz Azizan tidak disenangi rakyat. Antara yang banyak membuat
kritikan adalah segelintir ahli PAS sendiri.
Namun hasil
kajiselidik tersebut agak menyenangkan kerana lebih 55 peratus rakyat Kedah ketika
itu masih menaruh kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan. Apa yang mengejutkan
dalam pembentangan yang dibuat oleh Dr. Isa ialah, sokongan dan kepercayaan
terhadap Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar adalah lebih tinggi dari kepercayaan
terhadap Pakatan Rakyat itu sendiri. Dakwaan kononnya Ustaz Azizan ditolak atau
lebih keterlaluan lagi, 'jadi liability' terhadap Pakatan adalah tidak benar
dan dinafikan oleh rakyat jelata.
Ustaz Azizan
Abdul Razak yang saya kenali secara peribadi sejak 27 tahun lalu, sangat
istimewa orangnya. Beliau nampak keras tapi cepat mesra, nampak tegas tapi
tidak berdendam, nampak perungus tapi kelakar. Pokoknya beliau disukai orang
ramai. Jika tidak, masakan boleh bertahan sebagai wakil rakyat sehingga masuk
penggal ke lima. Hanya orang yang disukai ramai orang mampu berbuat demikian.
Sebaik
menjejakkan kaki ke Wisma Darul Aman sebagai Menteri Besar, banyak juga mata
yang curiga. maksudnya curiga dengan 'imej PAS' yang dibawanya, maklumlah
separuh abad mereka sudah terbiasa dengan pentadbiran Umno. Apa yang
mengejutkan, dari awal Ustaz Azizan langsung tidak mencampuri urusan birokrasi
pentadbiran. Beliau tidak mencampuri urusan memposisi pegawai, lantikan,
pertukaran atau kenaikan pangkat. Akibatnya, beliau dihormati oleh sebahagian
besar pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.
Siapa pun, dari
parti mana pun orangnya - yang menduduki kerusi nombor satu pentadbiran negeri kadangkala
berada dalam keadaan yang dilihat sukar untuk membuat satu-satu keputusan
penting. Jika terlalu lunak dengan pegawai tadbir dianggap mengetepikan parti,
jika tidak berlunak dengan pegawai maka ia seolah-olah mengundang risiko. Di
Kedah, KCS (pegawai tadbir negeri) ada kalanya 'beraja di mata'. Pernah di
zaman Tan Sri Sanusi Junid jadi Menteri Besar, beliau tidak popular kerana
mencadangkan KCS menjadi pegawai diplomatik dengan pusat. Akibatnya, ada risiko
yang terpaksa diterimanya. Ustaz Azizan tahu peristiwa tersebut dan mengambil
iktibar.
Ada juga ahli
PAS yang marah, mengapa serahkan beberapa jawatan GLC kepada KCS atau individu
professional yang bukan dari PAS? Hujah beliau sangat mudah, lihat tiga buah
GLC di mana CEOnya dilantik dari kalangan orang PAS. Semuanya gagal. Kebetulan yang bukan CEO orang PAS pula yang
berjaya. Tidaklah pula beliau bermaksud rugi 'kerana orang PAS' tetapi Ustaz
Azizan seolah-olah mahu mengajar bahawa jangan mengkritik atau mempertahankan
sesuatu tanpa hujah.
Begitulah dalam
banyak tindakannya yang lain. Beliau mempunyai jawapan atau hujah terhadap
sebarang tindakan, yang mungkin dilihat sesetengah orang sebagai tidak wajar.
Ada yang
mengecam Ustaz Azizan kerana berimej mewah dan tiada identiti Ustaz. Beliau mengguna Mercedes Benz KBV 8 sebagai
kereta rasmi, mempunyai pengawal dan polis trafik pengiring. Beliau memakai long suit, bersongkok (ganti
ketayap putih) dan tali leher ke pejabat dan urusan rasmi.
"Ana
memakai ijtihad yang dibuat oleh Muawiyah sewaktu menakluki Mesir dan dilantik
menjadi Gabenor di sana. Inilah yang diharuskan dalam ilmu siasah syariyyah,
meneruskan amalan kebiasaan yang sudah dikenali dalam sesebuah masyarakat yang
tidak bertentangan dengan syarak.
"Ketika
menjawab pertanyaan khalifah Syaidina Umar r.a berkaitan aduan rakyat
terhadap corak kehidupan dan kediamannya di istana milik bekas pemerintah Rom.
Muawiyah menjawab: Aku menakluki sebuah wilayah jajahan Rom dan masih
bersempadan dengan mereka.
"Mereka
mengenali sebuah kerajaan dan pemimpin dengan kehebatan dan kebesaran seperti
ini. Dengan inilah kerajaan dihormati dan dipatuhi dalam masyarakat dan budaya
di sini. Ana tidak boleh tergesa-gesa mengubah apa yang telah mereka kenali
sejak ratusan tahun dulu sekelip mata," hujahnya. Ya, ada hujahnya.
Beliau juga
dihentam kerana memakai pakaian rasmi jamuan beradat (mess kit) sewaktu jamuan
hari polis. Tampil tanpa songkok memang sesuatu
yang asing bagi dirinya dan ahli PAS juga. Ramai tidak tahu bahawa Ustaz Azizan
mengubah ciri-ciri mess kit dengan membuang bow sebagai sebahagian
kelengkapannya, dan menggantikannya dengan leher 'cekak musang'.
Sebelum
mengambil tindakan tersebut beliau meminta perkenan Sultan. Beliau berhujah
dengan baik di hadapan Sultan sehingga baginda memperkenankan. Ini kehebatan
Ustaz Azizan dalam berhujah. Bahagian Protokol tidak dapat berbuat apa-apa
malah menerima perubahan itu sehingga kini. Jasa siapa, kalau bukan Ustaz
Azizan.
Di samping
bijak berhujah, kelebihan Ustaz Azizan memahami sesuatu isu secara terperinci.
Beliau mampu memuaskan hati kesemua ADUN pembangkang sewaktu menjawab persoalan
di Dewan. Sekalipun ADUN pembangkang mengemukakan pertanyaan dengan
marah-marah, namun sudahnya ketawa berdekah-dekah mendengar penggulungan Ustaz
Azizan. Belum ada Menteri Besar yang mampu melakukan sepertinya di Kedah.
Dalam parti
atau di mana-mana juga, itulah kelebihannya. Ramai yang mengenali beliau
berkata, "Alang-alang berhujah tak cukup kuat, tak payahlah mengkritik
keputusan Ustaz Azizan."
No comments:
Post a Comment