Buat pertama kali dalam tempoh lima tahun Kedah akan memperolehi
pendapatan yang dijangkakan (bagi tahun 2014) lebih besar berbanding tahun
sebelumnya. Demikian sebuah akhbar harian memetik kenyataan Menteri Besar
Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Katanya, kalau di tahun 2013 (zaman Pakatan) jangkaan pendapatan
yang diunjurkan ialah RM640 juta tetapi jangkaan pendapatan bagi 2014 akan
lebih besar dari itu. Apabila kali pertama memegang jawatan, maka apa sahaja
yang dibuatnya dianggap perkara baru. Walhal unjuran pendapatan yang menetapkan
pertambahan memang dibuat setiap tahun sama ada di zaman Pakatan atau sebelum
dari itu.
Dalam pembentangan Bajet 2008 di zaman BN mentadbir Kedah, Dato'
Seri Mahdzir Khalid selaku Menteri Besar menetapkan jangkaan hasil cuma RM484
juta. Sudah tentu ia jauh ketinggalan berbanding di zaman Pakatan, namun ia
adalah jangkaan yang munasabah pada masa itu.
Mukhriz mengandaikan jangkaan pertambahan hasil adalah ekoran keberkesanan
pungutan hasil, antaranya cukai tanah yang dianggarkan RM200 juta. Kalau
setakat jangkaan pungutan yang berkesan, hasil belum tentu meningkat kerana
setiap tahun strategi pungutan hasil sedaya upaya akan dibuat dengan berkesan
namun hasilnya tetap tidak 100 peratus. Lainlah kalau beliau dapat mengemukakan
hasil-hasil baru negeri baru yang besar jumlahnya.
Tahun lalu kerajaan pakatan mencadangkan pertambahan hasil
bersifat sebanyak RM150 juta. Ia menjadi bahan sendaan pihak pembangkang,
kononnya tidak masuk akal.
Namun kerajaan negeri berjaya menyenaraikan
dengan terperinci jangkaan tambahan hasil tersebut. Antaranya pertambahan mendadak
anggaran premium sebanyak RM113 juta dari anggaran tetap yang sedia ada, iaitu
projek one-off melibatkan tiga lokasi, iaitu di Langkawi, Alor Setar dan Bandar
Baharu. Di Langkawi, tanah Tan Sri
Ting Perk Kin dirampas sewaktu Mahdzir menjadi Menteri Besar diusahakan untuk
dikembalikan semula dengan harga tebusan yang tinggi. Pemilik asal itu
berminat.
Kedua, bayaran premium satu
projek besar yang akan dilaksanakan di Alor Setar yang turut melibatkan
pampasan pengambilan jalan negeri sebanyak RM38 juta.
Ketiga, ialah sebidang tanah di Daerah Bandar Baru milik kerajaan negeri,
diambil balik oleh kerajaan negeri setelah ianya gagal dibangunkan oleh sebuah
syarikat pemaju. Ada pihak lain berminat memajukannya.
Kini tanpa sebarang perincian, hanya
berdasarkan cadangan kutipan cukai yang berkesan Mukhriz sudah mengumumkan
jangkaan pertambahan sebanyak RM200 juta. Tahun lalu Ketua Pembangkang Datuk
Seri Mahdzir Khalid menempelak kerajaan Pakatan meletakkan sasaran yang terlalu
tinggi sedangkan, katanya, semenjak dari tahun 2007 lagi, purata tahunan
premium tanah adalah sekitar RM40 juta setahun. Sekarang Mukriz pula sasarkan
kutipan hasil tanah RM200 juta, agaknya kalau Mahdzir masih Adun Kedah jenuh
bengkak dahi ditepuknya, hairan dengan sasaran tak masuk akal itu.
Kalau Melayu tak mudah lupa, tahun lalu seorang Adun pembangkang
Dato' Ir Nawawi Ahmad mempersoalkan jangkaan hasil RM640 juta dalam Bajet 2013
sedangkan perbelanjaan ialah RM1.1 bilion yang katanya, menunjukkan 'defisit'
hampir 72 peratus. "Defisit ini lebih teruk daripada Greece,"
katanya. Hakikatnya, Dato' Amiruddin Hamzah selaku Exco pada masa itu berjaya
membuktikan bahawa catatan bajet itu betul, sebaliknya Adun BN yang tidak tahu
baca laporan bajet.
Kata Amiruddin, terdapat sumber hasil lain tetapi tidak dimasuk
dalam sumber pendapatan negeri kerana ia diperakaunkan di bawah kumpulan wang
berasingan. Antaranya ialah terimaan kumpulan wang pembangunan, kumpulan
bekalan air, pemberian sahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, pemberian
pertambahan hasil dan penyelenggaraan jalan raya oleh kerajaan Pusat.
Menarik untuk dilihat dalam Sidang Bajet yang akan berlangsung
November nanti, adakah kerajaan Umno Kedah akan membuat laporan menggunakan
format yang sama? Kerana format tersebut digunapakai oleh semua kerajaan
negeri. Giliran Umno untuk terima pukulan boomerang yang dilontarkan dulu.
Ada lagi catatan menarik dalam Sidang Bajet tahun lalu, apabila
kerajaan negeri memasukkan jualan air mentah ke Pulau Pinang sebanyak RM20 juta
sebagai jangkaan hasil negeri. Tindakan tersebut menerima sindiran tajam dari
pihak BN kerana jangkaan tak masuk akal yang sepatutnya tidak dimasukkan dalam
laporan bajet.
Tahun ini mereka pula beriya-iya mendesak Pulau Pinang menjelaskan
bayaran air mentah tersebut. Adun BN Bakar Bata yang juga selaku Timbalan
Menteri kini, iaitu Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah sampai mencadangkan
supaya aliran air ke Pulau Pinang disekat jika tuntutan Kedah tidak dilayan.
Ramai yang ketawa berguling-guling mendengar cadangan itu.
Apapun Umno Kedah yang jadi kerajaan kini telah banyak menerima
pukulan buah keras, terhadap apa yang mereka ucapkan sewaktu jadi pembangkang
dahulu.
No comments:
Post a Comment