Wednesday, September 19, 2018

Tadbir negara sampai nyanyuk, juak terus mengampu



Ustaz Fadzil Noor dan kisah Presiden Habib Bourguiba

Di sekitar tahun 1990an, Almarhum Ustaz Fadzil Noor dalam ceramahnya sering menceritakan perihal Habib Bourguiba, pengasas dan Presiden pertama Republik Tunisia. Mungkin kerana ada kaitan dengan situasi politik negara ketika itu.

Sebelum saya menerangkan apa yang Ustaz Fadzil sebut mengenai mantan Presiden Tunisia itu, elok diceritakan sedikit latarbelakang Habib Bourguiba.

Beliau dilahirkan pada 3 Ogos 1903 dan meninggal pada 6 April 2000 pada usia 97 tahun. Seringkali dikaitkan dengan Bapak Sekular Turki, Kamal Atarturk kerana melakukan pembaharuan berasaskan sekular. Bourguiba memegang jawatan presiden mulai 25 Julai 1957 hingga 7 November 1987. Bersesuaian dengan fikrahnya, maka beliau adalah seorang yang pro-Barat.
Apa yang diceritakan Ustaz Fadzil Noor ialah tebalnya pemikiran sekular Bourguiba sehingga mengarahkan kakitangan kerajaan dalam negaranya supaya tidak berpuasa. Alasannya, berpuasa menyebabkan produktiviti negara terjejas. Bagi menegaskan arahan tersebut Bourguiba dan anggota kabinetnya muncul secara langsung di kaca television pada siang hari bulan Ramadhan, mereka sedang makan beramai-ramai.
Menurut Ustaz Fadzil, Bourguiba memerintah Tunisia sehingga nyanyuk. Malangnya ramai kalangan rakyat yang tidak sedar bahawa presiden mereka sudah nyanyuk. Para pengampu di keliling presiden juga membiarkan sahaja situasi tersebut, mungkin kerana mahu menjaga kedudukan. Umurnya ketika itu 80-an, usia yang terlalu tua untuk menjadi pemimpin pentadbiran kerajaan! Situasi ekonomi Tunisia tidak stabil. Agak tidak mungkin pemimpin yang seusia itu mampu merencanakan kerancakan ekonomi untuk rakyat dan negaranya.
Akhirnya pada 7 November 1987 Perdana Menteri, ZainalAbidin Ali terpaksa merampas kuasa kerana Presiden Habib Bourguiba didakwa 'tidak sihat'. Beliau jatuh dari persada kuasa pada usia 84 tahun.
Apa yang mahu diberitahu oleh Ustaz Fadzil dalam era politik ketika itu ialah rakyat jangan terlalu taksub dengan pemimpin kerajaan (ketika itu), hanya menyokong dengan membuta tuli. Sehingga menganggap apa yang dibuat oleh pemimpin itu betul belaka.


1 comment:

  1. mungkin sama kiasnya dengan mat sabu, anuat brahim. rasanya muhyidin lebih molek sebagai pengganti PM.

    ReplyDelete